29 Oktober 2016 - 13:32
Filipina Belakangi A.S Dan Memandang Ke Asia.

Menurut Setiausaha Kewangan Filipina, Carlos Dominguez, Manila sedang memandang ke timur untuk mencari pelabur-pelabur baru dan bukannya ke arah sekutu tradisionalnya iaitu Amerika Syarikat.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Menurut Setiausaha Kewangan Filipina, Carlos Dominguez, Manila sedang memandang ke timur untuk mencari pelabur-pelabur baru dan bukannya ke arah sekutu tradisionalnya iaitu Amerika Syarikat. Di dalam masa yang sama, Tokyo dan Beijing juga telah menyatakan minat mereka untuk melabur di Mindanao yang merupakan pulau yang kedua terbesar di Filipina.

Mindanao adalah sebuah wilayah yang dikenali memiliki deposit tembaga, emas, besi, aluminium, gas asli dan minyak. Menurut WikiLeaks, sumber mineral yang belum diterokai di pulau itu mungkin bernilai sehingga $ 1 trilion.

Daripada sumber makanan hinggalah ke bahan mineral, "kesemua sumber-sumber akan dibuka untuk dibangunkan," kata Dominguez semasa sesi temubualnya dengan CNBC pada hari Khamis.

Komen beliau dibuat selepas lawatan Presiden Rodrigo Duterte ke Jepun dan China dalam rangka meningkatkan hubungan Manila dengan jirannya di Asia dan dalam masa yang sama mengurangkan ketergantungan terhadap Amerika Syarikat.

Dominguez berkata pakatan dengan negara-negara Asia adalah sama dengan pakatan yang sedia ada dengan Kesatuan Eropah, NAFTA dan Mercosur.

"Sudah tentu, akan timbul implikasi politik, tetapi perkara itu hanya akan memupuk lebih banyak kerjasama dan hubungan mesra," katanya kepada media.

"China telah menyatakan minatnya (terhadap perkara ini) tetapi malangnya mereka tidak punya banyak aktiviti (di Filipina). Pentadbiran kami sebelum ini hampir tidak bercakap dengan kerajaan China. Akan tetapi kita telahpun bekerjasama dengan Jepun selama lebih daripada 60 tahun, "kata beliau lagi.

Sehingga 2015, Filipina menduduki tangga ke-39 di dunia dari aspek ekonominya dengan rekod keluaran dalam negara kasar sebanyak $ 292 bilion. Jumlah itu hanya kurang sedikit sahaja daripada nilai yang dicatakan Singapura dan lebih besar daripada sebahagian negara-negara EU seperti Ireland, Finland, Portugal dan Greece.

Dari 2012 hingga 2015, secara purata ekonomi negara itu meningkat sebanyak 6.47 peratus. Peningkatan itu berlaku kerana peningkatan dalam bidang pelaburan dan juga konsumsi yang kuat.